Tuesday, October 21, 2008

Review - Kami The Movie

Lama betul aku tak buat review filem yang aku tengok. Mungkin salah satu sebabnya ialah kerana kebanyakkan filem yang aku tengok adalah filem lama atau kerana aku dah lama tak tengok wayang. Lama tuh. Sebulan berpuasa, terhenti segala jenis aktiviti menonton wayang. Ada orang cakap menonton wayang membuang masa, aku tak peduli. Kebanyakkan orang tidak sedar, mereka membuang masa dengan pelbagai cara yang lain.

Filem terbaru yang aku tengok ialah Kami. Di Mines pada Ahad lepas bersama Cyber semasa dalam perjalanan pulang dari rumah Jarlut (ini semua adalah rakan-rakan dari forum Kcarlife lah ni). Semasa masuk panggung, tidak ramai, tidak penuh.. tipikal lah untuk filem melayu. Orang takut kecewa. Orang tidak yakin, itu yang tidak masuk panggung. Lagipun apa nak hairan, dari 10 buah filem melayu, 8 darinya adalah filem sambil lewa, lepas tangan.

Kami, beberapa bulan lepas disiarkan di 8tv, sebagai siri tv. Sebagai satu jenis promosi untuk filemnya. Kami, siri tv jika tidak silap ada 8 episod kesemuanya. Dan corak penceritaan dalam siri tv nya berbeza dari drama-drama lain. Bercerita permasalahan setiap dari 5 kisah remaja berkenaan. Adii dengan kisah maknya yang hilang deria pendengaran, Sofie dengan masalah dengan ibunya, Lin bermasalah dengan tauke dadah dan juga perpindahan ibunya dari kampung ke bandar berniaga gerai makan, Abu pula bermasalah dengan bapanya yang kasih sayangnya berat sebelah, tidak sama rata manakala Ali pula dengan perpisahan ke dua orang tuanya.

Mengalihkan siri TV kepada filem kadangkala menjadi satu percubaan yang tidak menjadi tetapi tidak bagi Kami. Kami berjaya berdiri sebagai siri tv dan tidak juga kalah sebagai filem. Kalau pulangan jualan tiket yang menjadi satu petanda aras kejayaan sesebuah filem, maka kami sudah pasti gagal. Tetapi kalau dari segi penceritaan, Kami tidak kalah. Kami berjaya dengan jayanya.

Cuma kalau ada kekurangan sedikit disana sini, ianya biasalah. Filem Hollywood pun ada goof dan ketidak logikannya. Dalam Kami the Movie, menceritakan Abu lari dari sekolah Gurney, bertemu rakan-rakannya. Oh satu yang tidak best pasal Kami the Movie kerana Kami the Movie hanya menumpukan kepada watak Abu, Ali dan Lin. Sofie dan Adii bagaikan hanya penyeri filem sedangkan ini filem Kami berlima. Kenapa aku kata Sofie dan Adii tidak diberi perhatian sangat, ialah apa jadi dengan mak Sofie selepas tak jadi kahwin? Apa jadi dengan Adii dan keluarganya, mana ibunya yang ada masalah pendengaran itu? Sudah tidak muncul langsung.

Abu masih berjaya menjadi seorang remaja yang berkegemaran mencuri dan kelakar dalam masa yang sama. Walaupun semasa dihujung cerita semasa dia sedang marah akibat ditikam tetapi masih sangat kelakar sehingga membuatkan kita hampir tidak merasa ianya adalah adegan menyedihkan. Kita akan ingat ia sebagai satu babak kelakar sehingga kita melihat apa sudahnya yang terjadi kepada Abu.

Banyak rahsia dan segala jenis teka-teki dalam siri tv akan terjawab diakhir filem ini. Itulah keindahan filem ini. Tidak ada lagi teka-teki yang lain. Siri TV yang menarik, disudahi dengan filem yang menjawab segala macam persoalan, aku nasihatkan jangan disambung lagi. Jangan ada Kami TV season 2, jangan ada Kami The Movie 2. Jangan cacatkan filem dan tv siri yang cantik ini dengan menyambungnya sehingga bosan.

Contoh TV siri yang berkesudahan cantik, One Tree Hill kesudahan musim 4. Apabila semuanya sudah graduate dari sekolah. Tetapi menjadi sangat buruk dan bosan apabila disambung ke musim 5, nak jadi cerita yang berjaya sampai ke Hollywood pun pulang semula bekerja di kampung Oh my my.. Ending yang sempurna tidak harus dirosakkan. Terima kasih.

0 comments: