Sunday, May 11, 2008

Khidmat Negara vs Kementerian Kesihatan

Encik Najib kata, kajian akan dijalankan ke atas cadangan pemeriksaan kesihatan menyeluruh ke atas SEMUA bakal pelatih Khidmat Negara. Kementerian Kesihatan kata, pemeriksaan kesihatan penyeluruh itu akan membabitkan kos yang tinggi dan menyebabkan hospital-hospital seluruh negara tidak cukup kakitangan.

Wait seminit, bukankah ini seperti dejavu?? Seperti pernah mendengar jenis kata-kata bola sepak ke padang belah kanan dan kiri seperti ini. Setiap kali ada pelatih yang meninggal semasa menjalani kursus, maka dialog yang sama berkumandang. Satu pihak akan mencadangkan pemeriksaan kesihatan, satu pihak lagi memberikan sejuta alasan untuk tidak melaksanakan.

Hangat-hangat tahi lembu. Tahi kambeng, tahi ayam, tahi gajah dan segala jenis tahi binatang yang lain. Yang pasti, semua orang sudah mendesak sejak dari mula agar Program Khidmat Negara dihentikan sahaja ATAU dibuka kepada yang sukarela nak menyerah diri. Bukan mewajibkan kepada nama-nama yang malang secara rawak ditentukan dalam sistem komputer manakala yang bertuah lain bersuka rela tengok telenovela di rumah. Sudahlah siap bersamanlah, ugut ditangkaplah kalau tidak menyertai program tersebut. Buat apa pergi macam pergi ke medan perang? Balik belum tentu?

Yang selama ini sihat sejahtera di rumah, pergi ke kem Latihan Khidmat Negara, balik dalam kain kapan, keras kejum. Apa yang mereka orang-orang yang terlibat dalam Khidmat Negara bagi alasan untuk mengelak dari menanggung kesalahan itu? Kata En Najib ke semua yang meninggal dalam kem mempunyai penyakit sebelum masuk kem. Ya, penyakit yang tidak kronik dan tidak ada petandanya pun. Dan mungkin tidak akan membawa maut kalau tidak ke Program ini.

Khidmat Negara, sudah mengorbankan 16 remaja setakat ini. Nak tunggu anak menteri atau anak raja mana meninggal dalam kem baru nak dikaji semula perlaksanaannya? Pergi Khidmat Negara dapat RM300 untuk tiga bulan. Kalau remaja lepasan SPM itu bekerja sementara menunggu keputusan peperiksaan RM300 sebulan pun sudah boleh dapat. Boleh juga digunakan untuk menampung belanja semasa masuk universiti. Huh.

0 comments: