Friday, November 30, 2007

Siapa Membazir Minyak Negara?

Setiap kali ura-ura harga minyak hendak dinaikkan, maka gegak gempitalah rakyat jelata. Iyalah, naik lima sen pun kesannya bukan pada kereta sahaja. Peniaga pun mula naikkan harga barang, pemborong juga, malah ayam KFC pun mula di kecilkan atas alasan yang sama. Maka orang-orang di atas pun sibuklah juga memberi amaran kepada peniaga, JANGAN MENAIKKAN HARGA BARANG. Amaran wajib setiap kali harga minyak naik. Amaran main-main setiap kali harga minyak naik. Ya, kalau tak main-main, takkanlah susu pekat naik dari RM2.10 kepada RM2.50 setin. Kalau tak main-main, takkan ayam naik sehingga RM6.00 sekilo dari RM5.40.

Lebih menjengkelkan apabila orang-orang atasan ini menyelar rakyat membazir minyak negara. Kononnya rakyat membazir subsidi negara. Rakyat masih tidak sedar dan menggunakan minyak petrol sewenang-wenangnya. Kereta makin bertambah. Proton resah apabila kereta tidak terjual. Apabila terjual sudah tentu jualan petrol juga meningkat.

Oh yang lebih menjengkelkan berulang-ulang kali orang-orang atasan yang berfikir menggunakan lutut ini menuduh rakyat membazir petrol. Sungguh menggunakan lutut apabila bersuara.

Kami, tidak memerlukan escot enam kenderaan di hadapan, dan enam kenderaan di belakang kami setiap kali menaiki kereta di jalan raya. Kami tidak memerlukan tambahan 2 buah motosikal polis di hadapan escot enam kenderaan di hadapan dan tambahan 2 buah motosikal polis belakang escot enam kenderaan di belakang. Jadi, untuk seorang manusia berjawatan tinggi ada sekurang-kurangnya 10 buah kereta / motor membazir petrol. Kiralah pula untuk berapa ramai manusia berjawatan tinggi membazir petrol?? Kalau yang itu tidak dikira membazir petrol pula kan?

Jadi, janganlah orang-orang atasan menuduh dan mengatakan rakyat membazir subsidi minyak. Sedangkan rakyat sedang bertungkus lumus untuk menjimatkan perbelanjaan mereka.

0 comments: