Thursday, August 23, 2007

Setiap Musim ada Cerita

Pelik tetapi benar. Perkara-perkara yang berlaku di Malaysia ini mempunyai musimnya. Sepertimana durian bermusim, rambutan bermusim begitu juga dengan nahas kemalangan jalan raya. Kemudian ada beberapa perkara yang turut singgah dalam pemikiran aku selain bermusimnya sesuatu perkara itu.

Beberapa ketika yang lepas, heboh gegak gempita apabila bumbung bangunan Imigresen bocor maka berlaku kebanjiran di bangunan tersebut sehingga memaksa bangunan tersebut di tutup sementara bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan. Tidak berapa lama selepas itu, berlaku satu lagi kebocoran bumbung. Dan diikuti oleh bumbung-bumbung lain yang juga bocor dalam jangka masa yang tidak berapa lama.

Maka saling tunding menundinglah semua jabatan untuk menunjukkan kesalahan itu bukan berpunca dari mereka. Kemudian, bumbung Parlimen pula bocor. Dan jawapan dari Menteri Kerjaraya pula amatlah melucukan. (Ya bagi saya) Apabila beliau berkata faktor cuaca menyebabkan bumbung itu bocor. Faktor cuaca yang berubah-ubah. Sekejab hujan sekejab panas terik. Kalau yang bocor itu rumah setinggan dek kerana cuaca ya…boleh diterima akal. Ini bangunan bernilai jutaan ringgit bocor atapnya (atap rumbia kot) dek kerana cuaca dunia? Aduh…

Isu tersisih tetapi berkaitan bocor bumbung adalah pada April 2005. (Kalau kita masih ingat, kerana kita ni selalu hangat-hangat tahi ayam, waktu isu tengah mengebu maka kita pun menggebu juga ambil tahu, lepas tu kita simpan dalam DVD L (DVD Lost Memory??) Siling Dewan Rakyat kebocoran ketika hujan lebat sehingga ke tempat duduk Menteri Kabinet. Ingat? Oh sudah lupa.. Saya pun begitu. Cuma teringat apabila buat kajian pasal kebocoran bumbung bangunan sebentar tadi.

Sekarang pula musim kemalangan bas. Seorang kawan sempat berpesan, ‘kau hati-hati kalau naik bas. Sekarang musim bas eksiden’ Ya. Semasa kemalangan kedua membabitkan bas express di Johor selepas tragedi Bukit Gantang, aku dah cakap dengan rakan serumah aku. Musim bas la pula sekarang. Dan kita seperti biasa, kita teruja dengan musim. Kita suka mengira berapa ramai yang meninggal. Kita tidak kisah pun sebenarnya nama-nama mangsa kerana ia tiada kesan peribadi. Kita cuma TERUJA!

Kemudian berpusu-pusulah pihak penguasaan mengejar bas-bas express. Ramai pengusaha bas tengah panas punggung sekarang. Manakan tidak, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis..semua menumpu kepada mereka. Semalam di Tol Sungai Besi, kereta yang bercermin gelap pun lepas sebab JPJ nak sekat bas express sahaja. Kemudian aku teringat, berita di NST bulan lepas mungkin, dimana pengusaha bas minta kerajaan naikkan tambang bas kerana sudah lama bas tidak menaikkan tambang tetapi kos bahan api meningkat. Itu cerita bulan lepas. Cerita bulan ini, banyak bas express tiada permit perjalanan yang sah. Oh Sudah jimat tak keluar duit untuk bayar permit tetapi bising pula pasal tambang. Aneh.

Oh..dan motif utama entry ini adalah, kejadian-kejadian yang berlaku sebenarnya tidak bermusim. Aku ulangi, aku kata ianya tidak bermusim! Kenapa? Sebab kemalangan bas express bukan hanya berlaku semenjak dua menjak ini sahaja. Cuma sekarang media begitu memburu cerita ini maka apabila bas melintang ditengah jalan selepas mengelak dari kenderaan lain juga dijadikan tajuk berita. Musim-musim yang berlaku di Malaysia digerakkan oleh media. Aku bukan musuh media, cuma aku katakan…kerana kita suka sangat berita berita begini…pada masa ini..maka berita inilah yang kita akan dapat. Tahun lepas aku tengok depan mata dua kemalangan bas, satu di susur Jalan Seri Kembangan, bas langgar bukit tepi jalan. yang ke dua bas jatuh longkang besar di depan stesen minyak di kelang. Ada masuk berita? Tak ada. Sebab masa tu bukan musim kemalangan bas.

0 comments: