Tuesday, August 14, 2007

Insiden Bukit Gantang, Kesalahan Manusia Mana?

Image Hosted by ImageShack.us
(Gambar ini diambil dari laman web Berita Harian)


Lagi gambar-gambar Kemalangan Di Bukit Gantang seperti yang diforward ke email saya sila click disini

Kemalangan terburuk di Malaysia dilaporkan berlaku pada 13 Ogos, pukul 4pagi. Bas Super Express telah terjatuh ke dalam gaung dan menyebabkan 20 orang penumpang termasuk pemandunya maut. Ianya menjadi berita paling menyedihkan di Malaysia. Serta yang utama berita paling hangat yang ingin dibaca oleh semua penduduk Malaysia.


Masa inilah, media berpesta. Media cetak berpesta kerana kerana adanya berita yang akan melariskan jualan akhbar mereka.Media eletronik berpesta kerana ramai akan menunggu untuk menonton berita pada jam 8.00malam. Kecelakaan, berita-berita ngeri…adalah sesuatu yang diharapkan oleh media.

Berbalik kepada nahas di Bukit Gantang. 20 orang terbunuh? Dan kerajaan berkata kesalahan manusia. Yakni kesalahan pemandu. Kita semua maklum (at least aku maklum) Pemandu Bas di Malaysia memang macam samseng jalan raya. Disebabkan mereka memandu kenderaan besar, maka senang-senang membuli kereta dan segala jenis kenderaan kecil yang lain. Pada musim hari raya, kita ada pegawai Polis di dalam bas. Kenapa kita tak boleh teruskan dengan system ini sekali sekala? Kemalangan maut membabitkan bas mencatat kosong peratus pada musim perayaan. Diluar musim perayaan pula bagaimana??

Bas malang tersebut dikatakan melilau ke kiri dan kanan jalan sebelum terbabas dan terhumban ke parit dan merempuh bongkah batu di lebuh raya itu. Rempuhan itu menyebabkan bumbung bas terbabit tercabut dan semua penumpang tercampak ke hadapan selepas terjunam dan terbalik ke dalam parit sedalam lima meter.

Apabila dikhabarkan dalam berita tv dan radio yang kemalangan ini adalah disebabkan kelalaian manusia, membuatkan aku berfikir. Ya, kesalahan manusia. Kerana bas baru sahaja diperiksa di Puspakom pada bulan Mei yang lepas. Tapi manusia yang mana? Ini bukan hanya melibatkan kepada pembunuh langsung 20 orang penumpang itu. Ada banyak pihak menjadi pembunuh tidak langsung disebalik insiden ngeri ini.

Pemandu dalam kejadian ngeri di Bukit Gantang telah di saman lebih dari 10 kali! Aku ulangi lebih dari 10 kali! Dan dua waran tangkap! Dan ya dia masih disitu. Memandu bas yang membawa penuh penumpang. Siapa yang bersalah? Tentulah pemandu tersebut kerana memandu laju. Oh penguatkuasa dimana? Sudah diisu dengan waran tangkap masih boleh memandu bas? Oh dimana pula syarikat bas berkenaan yang bas itu sendiri sudah mempunyai 19 saman?? yang boleh membiarkan pemandu yang begitu banyak kesalahan jalan raya untuk terus memandu bas syarikat berkenaan? Dan aku yakin, pemandu yang terbunuh itu bukan satu-satunya pemandu bas di Malaysia yang mempunyai saman. Sudah ramai pemandu bas yang mempunyai kesalahan trafik yang banyak telah terbabit dalam kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa yang banyak. Maka, apakah ini yang dinamakan barang yang lepas jangan dikenang??

Itu baru kisah bas express. Mungkin pihak-pihak terbabit buta mata dan buta telinga, berapa banyak aduan mengenai pemanduan bas di suarakan oleh rakyat di dada-dada akhbar. Bas Metro yang membawa bas mencelah sana sini seolah-olah dia bawa basikal? Oh. aku terlupa, kita disini mengamalkan peribahasa ‘sudah terhantuk baru tergandah,’ Selagi belum ada bas Metro terbalik atau merempuh bangunan pencakar langit, selagi itu tiada apa-apa tindakan dilakukan. Kita bersama-sama menunggu sahaja. Apa yang bakal berlaku…

Kita tidak perlukan penganas untuk membunuh rakyat Malaysia, kita cuma perlukan pemandu bas yang berada dibawah pengaruh dadah dan juga merasakan diri mereka raja dijalanan. (taxi included!)

Adakah ini hadiah kemerdekaan ke 50 Malaysia? Fikir-fikirkanlah.

Takziah kepada semua keluarga yang terlibat dalam insiden ngeri ini.

0 comments: