Thursday, November 02, 2006

Ini entry terakhir sebelum saya merubah format blog ini. Nantikan kemunculan format baru blog saya yang lebih sensasi, lebih menarik dari biasa. (kononnya lah)


Entry terakhir blog skima

20/10/2006 (Jumaat) Terasa hendak pulang ke kampung ikut Gua Musang dan tak lalu jalan biasa iaitu ikut Kuantan. Tapi ada satu perasaan dalam hati aku yang menyatakan aku macam dalam bahaya kalau aku tukar rutin perjalanan. Mungkin ini adalah firasat bodoh atau boleh dikatakan gerak hati yang tidak tepat sama sekali. Memang kalau diikutkan, lalu Gua Musang lebih dekat. Kurang 50KM dari jalan yang biasa aku lalui. Tapi itulah, ada perasaan kelakar dalam hati aku ni. Sebab aku selalu terbaca yang kalau kita sudah biasa ikut satu-satu rutin perjalanan, dan tiba-tiba sahaja kita mengubahnya, mungkin akan berlaku sesuatu. Dialog yang biasa akan ke udara ‘Selalu dia tu balik ikut Kuantan, tiba-tiba kali ini ikut Jalan Gua Musang pula. Dah sampai ajal’ Parah tak imaginasi aku. Jadi, sehingga ke petang aku masih lagi tidak membuat keputusan laluan mana yang aku akan ambil.

Dan satu lagi yang aku tidak berapa gemar ialah bertolak diwaktu malam. Ya aku selalunya bergerak pada pukul 4.00pagi. Tapi pukul 4.00 pagi jalan sekejab makin cerah dah. Ini kawan-kawan serumah nak bergerak pukul 2.00pagi. Aku tak yakin dengan tahap penglihatan mata aku dan juga tahap kesegaran mata aku juga. Dan yang kelakar, aku bukan tak biasa balik seorang diri, cuma kali ini terasa nak berkonvoi dengan kawan-kawan serumah.

Di malam hari, Nur tanya jadi ke balik sama. Dan masih, aku tidak ada jawapan kukuh Aku cuma kata, mungkin kot. Sempat keluar pergi beli mcD, konon untuk bekal sahur sebab nak gerak pukul 2pagi. Tepat pukul 11.30malam, Nur dah nyenyak kat ruang tamu. Fida pula ketiduran di dalam bilik. Masa ini mata aku sudah rasa mengantuk, kemudian aku buat keputusan muktamad, aku tulis di kertas ‘takjadi follow, aku nak tido’ letak tepi Nur.. dan aku selamat ketiduran .

21/10/2006 (Sabtu) Aku kunci jam pukul 3.30pagi, tapi elok sahaja alarm berbunyi, aku tutup dan sambung tidur. Nasib baik aku terjaga pada pukul 5.00pagi. Aku kejut adik aku, makan sahur, bersiap, mandi, masukkan ayu dalam kurungan. Seterusnya turun ke kereta. Masa ni dah dekat pukul 5.40pagi. Lepas panaskan enjin sekejab, aku pun bergerak selepas baca doa naik kenderaan. Jalan punya jalan, sampai di susur keluarga Genting/ Kuantan / Gombak, fuh kesesakan amatlah menjilat jari. Susur yang sepatutnya selorong sudah menjadi dua lorong. Aku tersangkut dalam 20minit di situ. Tengok orang semua beratur untuk bayar dengan manual booth (kaunter tunai). Nasib baik aku ada kad ‘sentuh dan pergi’ (lain macam sahaja bunyinya).

Dari Gombak bergerak ke Karak. Di tol Karak tidaklah seteruk Gombak tetapi di susur keluar kuala lipis kesesakan boleh tahan. (Lupa nak sebut, masa aku tengah bersahur dirumah, kawan serumah aku telah menghantar pesanan ringkas kesesakan terus berlaku di Jalan itu) Oh aku hendak ke LPT jadi aku cuma kandas sebentar sahaja disitu.

Aku masuk sempadan Pahang / Terengganu pada pukul 8.30 pagi. Jalan agak sibuk, jadi had laju 80kmj setakat ini masih lagi dipatuhi. (Erk, kecuali masa kat lebuhraya tadi aku tinggikan 10kmj dari had laju lebuhraya). Aku tak terasa nak memotong, entahlah..aku cuma nak sampai kampung dengan selamat. Kesesakan teruk berlaku di jalan jerangau jabor tu, dua kilometre boleh kot? Ada kemalangan yang membabitkan wira (terbakar habis), iswara, van rusa (ini kemik teruk, kerosakan sepenuhnya (total lost )kot.

Aku memang ikut had laju habis. Seronok juga, rasa tenang. Sebab tak payah susah-susah nak tengok depan untuk memotong. Sampai di Kuala Terengganu pukul 11.00pagi. Naik Jambatan Sultan Sulaiman. Teruskan lagi perjalanan. Pukul 12.30 sampai ke rumah.

Aku penat, tapi waktu sahur tadi aku ambil Nescafe tin untuk buat aku tak mengantuk, kesannya sampai ke petang aku tak boleh tidur. Akhirnya aku layan cerita Hindustan yang aku beli di Jusco sebelum balik. Dan sudah tentu cerita Hindustan itu mestilah ada preity zinta sebagai pelakon. Kalau dia tak ada, rasanya tidak akan aku menonton. Preity Zinta sangatlah cantik. Sesuai dengan namanya.

22/10/2006 Ahad Hari ini aku bangun pukul 9.00pagi kemudian layan cd. Kemudian aku tertidur lagi. Sampailah adik aku dating kejutkan suruh masuk dapur tolong bungkus tapai.

23/10/2006 Isnin Mak aku bungkus ketupat. Tapi aku tidak tolong. Sebab aku memang tidak tahu mengbungkus ketupat. Lagi satu, dia guna tangan kanan ajar, aku bungkus pakai tangan kiri, jadi ajaran dia aku tak dapat nak guna. Akhirnya, aku memang tak akan tahu membungkus ketupat. (ini kisah ketupat pulut), Kalau ketupat nasi pun aku tak pandai juga.

Malam ni malam raya, adik-adik aku dan anak jiran (yang juga sedara mara aku) sibuk bermain bunga api. Kesian ayu dalam bilik aku, menyorok belakang almari sebab tak pernah dengar bunyi itu. Jantung dia berdegup kencang. Wahaha

24/10/2006 Selasa (aka hari raya) Bangun pukul 8.00pagi. Aku suruh Zila seterika kan baju aku. Aku pergi mandi, kemudian lepak-lepak depan televisyen. Ada mana-mana budak yang datang aku akan bagi duit raya dalam sampul. Aku tukar RM100.00 sahaja. Dalam sampul aku letak RM2. Sampul ada 30 sahaja. Sepuluh keping sampul yang lain, aku letak RM5. ini untuk kanak-kanak yang aku kenal rapat sahaja. Lagi RM40.00 duit seringgit yang tidak bersampul reserve untuk kanak-kanak yang datang lambat. Bagi seorang seringgit sahaja.

Adik aku dah mulakan operasi mengutip duit raya. Banyak juga rumah dia jelajah. Lepas dua jam dia balik mengira duit raya. Sambil membebel. Aku tertarik dengar bebelan dia lantas bertanya, apahal ni? ‘Ni ha..mokcik kemboja (kemboja ni nama orang ni beb), ada ke bagi dua puluh sen. Baik tak payah bagi terus.’Aku terus nak tergelak. Tahun 2006 ada lagi orang bagi duit raya 20sen?

Menjelang tengahari, lepas zuhur.. aku barulah tukar jadi baju raya. Nak kena pergi beraya di Gong Nangka pula. Lawat sedara mara. Jadi pergi sahajalah. Memula pergi rumah moksu dan rumah ayah chik (sebelah menyebelah) tapi rumah diaorang tutup rapat. Aku bagi salam, aku tekan hon. Tiada orang buka. Dalam hati aku tertanya, tak beraya ke diaorang ni.

Aku beralih ke rumah che nah. Baru siap renovate rumah rupanya. Ramai juga orang kat rumah dia. AKu salam, borak-borak dengan che nah beserta adik wan (adik ke? Sebaya aku mamat ni, tapi dah dari kecik aku panggil dia adik, nak buat macammana kan).

Jumpa ayah chik kat rumah che nah. Kemudian pergi rumah ayah chik pulak. Moksu memang tak ada kat rumah. Pergi jalan rumah sedara mara datang ke rumah dia esoknya, ada kenduri arwah atuk aku. Ayah chik, mok jarah ajak datang juga esok harinya. Tapi aku dah tawar hati. Memang selamanya aku akan rasa jadi orang luar dalam kaum keluarga sendiri. Itu kebetulan aku datang beraya baru nak jemput aku ke majlis itu. Kalau aku tak pergi? Tak mungkin lah dijemput. Moksu boleh pergi panggil semua sedara mara lain, tapi tak boleh pun nak hantar pesanan ringkas kat aku ajak datang? Tidak mungkin.

Nasib baik rumah aku pun ada kenduri aqiqah. Sembelih dua ekor kambing pada hari raya ke dua esok.

25/10/2006 Rabu Pukul 7.00pagi dah kena bangun. Sebab hari ni ada kenduri. Memula aku blend lada. Kemudian aku tolong makcik-makcik yang dah mula datang untuk potong bawang. Huh, menangis kepedihan aku pula dengan bawang-bawang ni. Kemudian adalah seorang makcik ni kata, sebab tulah dalam cerita bawah putih bawah merah, bawang merah ni dapat watak sedih..kat luar pun dia ni memang sedih sentiasa. Chewah, makcik..pandai pula dia.

Menjelang tengahari, masakan dah masak. Berduyun-duyun orang datang menjamu selera. Aku membasuh pinggan mangkuk dipaip air belakang rumah. Pakai seluar trek ngan t-shirt gampang sahaja. Pukul 12.30 aku berhenti. :D Masuk dalam rumah, tengok dari studio satu Siti Nurhaliza. Aku nampak akulah..hehe.

Petang, mariani a.k.a itik comei pun datang satu keluarga dengan suami dia, anak dia luqman, anak saudara dia si najihah dan mak dia aka mak aku (wahaha) makcik semah.

Orang terakhir yang datang menjelang pukul 7.00petang adalah bekas adik tiri abah. (bekas, sebab arwah atuk nikah dengan mak dia). Sekarang atuk dah meninggal, jadi itu bekas adik lah kan?)

26/10/2006 Khamis Kawan-kawan datang. Jamu jelly sahaja.

27/10/2006 Jumaat Tak ada orang datang. Aku lepak tidur main dengan ayu. Tiba-tiba sedang enak bermimpi, zaimin datang kejut ‘along, along..sain mu maghi (kawan kau datang). Aku bergegas basuh muka, bedak sedikit. Turun kat ruang tamu, Laaaaaaa aya donat rupanya. Sembang-sembang, tengok gambar kereta dia yang terbalik tu. Lepak luar rumah pula tengok kereta TAK7074 luar dalam.

Selalu kalau balik terengganu, ada sehari aku akan ajak kawan-kawan makan ramai-ramai bayar ramai-ramai juga di Rhu Sepuluh, Setiu. Ikan celup tepung, sotong celup tepung. Tapi kali ini hambar. Ramai yang ada komitmen berkeluarga. Tinggal aku dan aya sahaja. Akupun malas lah nak ajak aya. Lainkali lah naik kereta aya jalan-jalan.

28/10/2006 Sabtu Kegiatan biasa

29/10/2006 Bangun pukul 6.30pagi. Bising si zaimin melalak tak mahu pergi sekolah. Alif yang bongsu itu elok sahaja bersiap seorang diri. Pakai baju, pakai seluar, pakai neck tie. Yang zaimin yang dah darjah enam tu pulak yang melalak macam kambing gurun. Rasa nak sepak sahaja. Duk menangis memekak melolong kat dapur, taknak mandi. Ma paksa mandi. Dia boleh keluar dari bilik air mengamuk tepis air teh sarapan pagi yang berada atas meja. Bertaburan air tu jatuh nasib baik ma guna bekas plastik isi air teh tu. Kalau tidak, ha..makan kaca budak tu. Ma naik angina, belasah dengan penyapu lidi. Abah pun angin juga. Tarik zaimin masuk bilik mandi. Huh menakutkan betul. Tah apa nak jadi ngan budak ni. Malu kat alif yang dah siap sedia.Bersongkok lagi!!

Lepas hantar budak dua orang tu pergi sekolah, abah balik ke rumah sebelum pergi kerja. Aku sempat salam sebelum dia pergi kerja. Pukul 8.00pagi, aku gerak dari rumah. Berhenti isi minyak di Meran, pastu berhenti beli keropok lekor di Batu Rakit, sebelum singgah di Bukit Payung , rumah makcik semah. Lepak makan mi goreng, minum air teh, kemudian bertolak lah aku ke Kuala Lumpur. Masa tu jam pukul 10.00 pagi.

Memula macam nak ikut sahaja aliran trafik, tapi lama-lama naik bosan bila asyik mengikut sahaja. Kebetulan masa ni ada satu wira plet JJH warna kelabu galak memotong. Aku ikut belakang dia.

Sampai di Ajil; dia masuk stesen minyak, sendirian lah aku. Kemudian jumpa kereta lain pula, ambil lagi jadi idola. Sebelum aku rasakan, dia tu tak seronok untuk jadi idola. Kemudian aku potong dan tinggalkan dia. Sehinggalah aku jumpa WIRA Merah MAG ni. Seronok ikut dia. Dia memotong di tempat yang selamat. Aku ikut dia sehingga simpang laluan alternatif ke LPT. Aku ke kanan, dia terus. Rupanya, dia salah jalan. Dia u-turn dan ikut kanan juga. Tapi masa tu aku dah ke depan. Sedang galak memotong kereta lain (aku rasa sepanjang perjalanan, lebih 50buah kereta aku potong dan masih banyak lagi kereta depan aku, arghhh….bosan!!!)..

Sedang aku leka memotong, tiba-tiba aku nampak WIRA Merah tu kat belakang aku tengah memotong ikut aku la. Bila aku dah selesai memotong..aku masuk ke jalan sebenar, dia pula masuk depan aku. Dan jadinya, aku ikut dia lagi. Sampai simpang ke LPT / Kuantan, dia ambil ke Kunatan, aku ke LPT. Sempat hon-hon dan lambai tangan. Hahaha

Sampai di Kuala Lumpur pukul 3.30. Alhamdulillah, Selamat Perjalanan Aku Pergi Balik Kampung Raya Tahun ini.

Terakhirnya blog ini berisi menda-menda seperti ini. Entry seterusnya, tidak lagi berkisar pasal kehidupan aku. Terima kasih.

-erisa

0 comments: